PENAJA

RAKAN ILMU

Monday, 20 October 2014

KATA BANYAK MAKNA...!

 http://3.bp.blogspot.com/-jNZWshPT7i4/Tn3tYELkovI/AAAAAAAABXY/f1sHv0CXEUU/s1600/tayar+hujan.jpg
 Bunga tayar belum haus...
Sesetengah perkataan bahasa Melayu mempunyai makna yang lebih daripada satu. Misalnya perkataan 'daun'. Makna pertama bagi daun ialah bahagian tumbunan biasanya nipis, leper dan berwarna hijau. Daun juga membawa makna benda yang berkeping-keping dan berbentuk nipis seperti 'daun kipas', dan 'daun pintu'. 
Biasanya untuk menguji kefahaman pelajar tentang makna dan penggunaanya dalam ayat, contohnya dalam peperiksaan SPM, calon-calon diminta menulis DUA ayat bagi setiap satu perkataan untuk menunjukkan bahawa calon tersebut faham akan makna dan penggunaanya.
Contoh soalan:-
  • Tulis DUA ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan makna dan penggunaanya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
  1. haus
  2. tajam
  3. bidang
Contoh jawapan:-
  • haus
  1. Cuaca yang panas terik menyebabkan saya berasa sangat haus.
  2. Bunga tayar kereta ayah sudah haus.
  • tajam
  1. Pisau baharu itu sangat tajam.
  2. Fikiran budak kecil itu sangat tajam.
  • bidang
  1. Adik menuntut di IPTA dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.
  2. Dada peserta bina badan itu sangat bidang.
Para calon tidak perlu membina ayat-ayat yang terlalu panjang dan 'sofistikated', melainkan ringkas dan mampu menjelaskan perbezaan makna dan penggunaannya sahaja.

Sunday, 19 October 2014

ESEI: LANGKAH MENYEMARAK BUDAYA INOVASI...!

 http://4.bp.blogspot.com/_5M-Q_nImovk/TEL_aSwyAPI/AAAAAAAAADY/TFOZMD-eH_U/s1600/eeopma-36.jpg
PENDAHULUAN:-
Inovasi merupakan idea, amalan dan objek yang dianggap baharu dan diperbaharu manakala kreativiti pula merupakan suatu proses pemikiran yang mendorong usaha ke arah mengaplikasi idea baharu hasil daripada gabungan idea lama dan baharu.
Budaya inovasi dan kreativiti ini amat dituntut demi menghadapi persaingan di peringkat global.

IDEA-DEA:-
  • Kerajaan telah melancarkan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional sejak 2012 sebagai satu usaha untuk menggerakkan agenda pembangunan negara menerusi pembudayaan sains dan inovasi dalam kalangan rakyat.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Najib mencadangkan setiap kementerian dan agensi kerajaan menubuhkan satu unit inovasi khas yang bertanggungjawab tentang pelbagai kegiatan dan program motivasi yang meliputi sistem penyampaian, sistem pengkomputeran dan lain-lain.
  • Kerajaan telah menubuhkan Pasukan Gerak Khas Inovasi Inklusif yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggungjawab memperincikan kaedah pelaksanaan inovasi inklusif secara sistematik dan berterusan.
  • MOSTI sentiasa memberikan galakan berkenaan aktiviti inovasi dalam kalangan rakyat menerusi penyediaan dana dikenali sebagai 'Sciencefund dan Innofund'.
  • MOSTI juga menyediakan prasarana dan persekitaran yang kondusif bagi menggalakkan aktiviti inovasi.
  • Kerajaan turut menyediakan pelbagai pengiktirafan untuk memupuk minat anak muda dan masyarakat ke arah menyumbang idea-idea seperti Anugerah Inovasi Negara dan Anugerah Inovasi Perdana Menteri.
  • Kerajaan mengisytiharkan 31 Oktober setiap tahun sebagai Hari Inovasi.
  • Perdana Menteri telah memberikan peruntukan tambahan dalam bajet 2013 sebanyak RM500 juta dalam bidang pendidikan bagi melaksanakan aktiviti latihan guru yang berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
KESIMPULAN:-
Kesimpulannya, budaya inovasi dan kreativiti perlu diterapkan dan diamalkan oleh semua pihak termasuklah sektor swasta, awam, NGO, ibu bapa, institusi pendidikan, pelajar sekolah dan juga anak-anak di prasekolah.
Budaya ini harus diarusperdanakan bagi memperkasakan masyarakat ke arah mencapai negara yang inovatif dan berkembang maju.

Saturday, 18 October 2014

SOALAN TG. 4 SBP....!

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN TG. 4
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Mengintai Ruang Insaf

Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.

Sewaktu berlari di padang hidup
kerap kakiku tersadung selirat akar
tubuhku tercalar duri pidana
pada samar kejauhan ancala mulia makin kabur
dan menghilang. 

Sekadar songsong aksara kata
tanpa kembali ke tunjang makna
Apakah dalam sarat khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan?

Rabb,
moga pintu taubat-Mu terbuka
sebelum api dari bara itu menyala.

Shukri Abdullah
Antologi Harga Remaja
DBP.

  1. Berikan maksud frasa kerap kakiku tersadung selirat akar? [2 markah]
  2. Pada pendapat anda, apakah tindakan-tindakan yang perlu anda lakukan setelah menyedari kesilapan diri? [3 markah]
  3. Huraikan DUA persoalan yang terdapat dalam sajak di atas. [4 markah]
Skema Jawapan:-
  1. Maksud frasa kerap kakiku tersadung selirat akar ialah penyajak banyak melakukan kesalahan dan kesilapan semasa hidup.
  2. Tindakan-tindakan yang perlu dilakukan ialah:-
  • bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.
  • memohon maaf daripada individu tersebut atas kesalahan yang dilakukan
  • menghadiri kuliah agama/ceramah agama - mendalami ilmu agama
  • menerima/mendengar nasihat yang diberikan
  • banyak bermuhasabah diri
      3. Dua persoalan yang terdapat dalam sajak di atas ialah:-
  • Persoalan fitrah manusia yang sering melakukan kesilapan dalam hidup; contohnya pengarang mengatakan bahawa setiap manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan.
  • Persoalan keinsafan yang wujud dalam diri manusia apabila menyedari kesilapan lalu; contohnya pengarang mengatakan bahawa hanya dengan keinsafan boleh membawa kehidupan yang bermakna.



JAWAPAN PERIBAHASA...!

http://pepatahmelayu.files.wordpress.com/2012/10/a.jpg
Peribahasa merupakan himpunan kata yang mempunyai atau membawa makna tertentu sangat popular dalam kalangan masyarakat sedikit masa dulu. Peribahasa dapat dikelaskan kepada empat golongan berdasarkan sifat dan binaannya seperti:-
  • simpulan bahasa
  • bidalan
  • perumpamaan dan
  • pepatah.
Setiap ungkapan peribahasa mempunyai ciri, bentuk, pilihan kata yang mesti digunakan secara tepat tanpa menukar susunan mahupun dari segi pemilihan kata asalnya. Jika hal ini berlaku, maka struktur peribahasa yang baru dibentuk itu tidak betul dan tidak boleh dipakai.

Berdasarkan peribahasa di atas, jika kita menggantikan atau menggunakan perkataan lain seperti;-
  • Air sungai / air kolam yang tenang jangan diduga tiada buaya atau
  • Umpama air sungai yang tenang jangan disangka tiada buaya atau
  • Air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya
  • Jangan disangka tiada buaya / air yang tenang
Maka, semua bentuk binaan baharu peribahasa di atas adalah SALAH dan jika bentuk sebegini diajukan sebagai jawapan dalam sesuatu peperiksaan, alamat kosonglah markahnya.

Kesimpulannya, penggunaan peribahasa mestilah mengikut sebagaimana bentuk asal sesuatu peribahasa tersebut. Sebarang pengubahsuaian akan menyebabkan berlaku kesalahan.

Thursday, 16 October 2014

POLEMIK ANTARA RAMAI DENGAN BANYAK...!


Ramai dan Banyak…. Hentikan polemik…!
Kecelaruan penggunaan perkataan ‘ramai’ dan ‘banyak’ masih berterusan. Hal ini demikian timbul oleh sebab terlalu banyak pendapat dan kesimpulan yang dihasilkan oleh ‘guru-guru bahasa’ setengah masak! Maaf, hanya sekadar bergurau dalam wacana ilmu. Perkataan ramai dan banyak mengikut ilmu morfologi terhimpun dalam golongan kata adjektif. Mengapakah saya berpendapat sedemikian? Sebenarnya untuk mengesahkan sama ada perkataan tersebut itu, tergolong dalam kata adjektif adalah dengan cara memadankan sesuatu perkataan itu dengan kata penguat, jika ‘serasi’, pastilah perkataan tersebut ialah kata adjektif. Lihat contoh padanan di bawah;-

cantik    +  sangat
- cantik sangat
> serasi
besar     +  sekali               
- besar sekali
> serasi
merah   +  sungguh
- merah sungguh
> serasi
banyak +  amat
- banyak amat
> serasi
terlalu   +  ramai
- terlalu ramai
> serasi
·        Perkataan seperti cantik, besar, merah, banyak dan ramai adalah padan digunakan bersama dengan kata penguat sangat, sekali, sungguh, amat dan terlalu. Hal ini demikian jelas bahawa perkataan yang serasi jika digunakan dengan kata penguat adalah terdiri daripada golongan kata adjektif.
Lihat pula padanan di bawah ini;-·       
Kerja     +  sangat
- kerja sangat
> tidak serasi
Makan  +  sekali
- makan sekali
> tidak serasi
Rumah  +  sungguh
- rumah sungguh
> tidak serasi
Jalan      +  amat
- jalan amat
> tidak serasi
Bagi perkataan seperti kerja, makan, rumah dan jalan, penggunaannya bersama dengan kata penguat adalah jelas tidak serasi dan ini menunjukkan bahawa perkataan tersebut bukannya tergolong dalam kata adjektif. Perkataan kerja dan makan ialah kata kerja dan perkataan rumah dan jalan pula merupakan golongan kata nama.
Berbalik semula kepada perkara yang mahu diperkatakan, iaitu sejauh manakah tepatnya penggunaan perkataan ‘ramai’ dan ‘banyak’ oleh pengguna bahasa Melayu sama ada dalam situasi ilmu bahasa mahupun penggunaan dalam komunikasi seharian. Dua patah perkataan yang terhimpun dalam golongan kata adjektif ini mempunyai maksud dan penggunaan yang ‘sama’ dan ‘hampir sama’ menyebabkan wujud sedikit kekeliruan, namun kekeliruan itu sebenarnya dapat diperbetul dengan mudah jika kita lebih prihatin dan bertanggungjawab semasa menggunakannya.
Merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, perkataan banyak merujuk maksud bukan sedikit, tidak sedikit, bilangan atau jumlah. Manakala perkataan ramai pula merujuk maksud riuh rendah, hiruk-pikuk, sangat hebat, dahsyat, sangat gembira, aktif, giat. Kamus tersebut memberikan maksud perkataan ramai lebih kepada suasana atau keadaan yang meriah dan serba giat. Namun di samping maksud suasana, kamus tersebut juga menyelitkan maksud lain bagi perkataan ramai ialah banyak penghuni, banyak orang, sebanyak dan lain-lain.
Berdasarkan maklumat Kamus yang menjadi rujukan utama pengguna bahasa Melayu, perkataan ramai dan banyak boleh disimpulkan sedemikian, iaitu perkataan ramai digunakan untuk menggambarkan suasana yang meriah dan giat. Ramai juga boleh digunakan untuk menunjukkan bilangan (banyak) khususnya kepada manusia sahaja. Lihat contoh ayat di bawah;-

1
Orang yang menontoh persembahan itu sungguh ramai.
2
Ramai pelajar yang turut serta dalam aktiviti perbengkelan itu.
3
Majlis keramaian itu diadakan tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.
4
Majlis keramaian itu diadakan tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.
   Ayat 1 dan 3 di atas menunjukkan contoh ayat yang menggunakan perkataan ‘ramai’ yang merujuk maksud suasana, manakala ayat 2 dan 4 pula ialah contoh ayat yang menggunakan perkataan ‘ramai’ sebagai merujuk maksud banyak iaitu khususnya untuk bilangan kepada manusia. Perkataan ‘ramai’ yang membawa maksud banyak tidak boleh digunakan untuk benda, binatang dan lain-lain. Contoh kesalahan penggunaan perkataan ramai;-

1
Ramai kereta di jalan raya menyebabkan berlakunya masalah kesesakan lalu lintas.
2
Amin menternak ramai kambing.
·        Berlainan pula dengan penggunaan kata ‘banyak’ yang hanya merujuk maksud bilangan sesuatu
sama ada bilangan benda, binatang mahupun manusia. Sila perhatikan ayat contoh di bawah;-

1
Banyak ternakan yang mati akibat bencana alam itu.
2
Kerana terlalu banyak kenderaan di jalan raya menyebabkan pergerakan trafik terganggu.
3
Banyak guru yang menghadiri kursus pada kali ini.
1   Akhir kata, marilah kita tamatkan polemik yang remeh ini. Perkataan ‘ramai’ dan ‘banyak’ merupakan jenis perkataan istimewa yang mempunyai maksud yang sama dan hampir sama, yang menjadikan bahasa Melayu menjadi indah dan segar!

PROMOSI III

Loading...