SOALAN TG. 4 SBP....!

PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN TG. 4
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Mengintai Ruang Insaf

Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.

Sewaktu berlari di padang hidup
kerap kakiku tersadung selirat akar
tubuhku tercalar duri pidana
pada samar kejauhan ancala mulia makin kabur
dan menghilang. 

Sekadar songsong aksara kata
tanpa kembali ke tunjang makna
Apakah dalam sarat khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan?

Rabb,
moga pintu taubat-Mu terbuka
sebelum api dari bara itu menyala.

Shukri Abdullah
Antologi Harga Remaja
DBP.

  1. Berikan maksud frasa kerap kakiku tersadung selirat akar? [2 markah]
  2. Pada pendapat anda, apakah tindakan-tindakan yang perlu anda lakukan setelah menyedari kesilapan diri? [3 markah]
  3. Huraikan DUA persoalan yang terdapat dalam sajak di atas. [4 markah]
Skema Jawapan:-
  1. Maksud frasa kerap kakiku tersadung selirat akar ialah penyajak banyak melakukan kesalahan dan kesilapan semasa hidup.
  2. Tindakan-tindakan yang perlu dilakukan ialah:-
  • bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.
  • memohon maaf daripada individu tersebut atas kesalahan yang dilakukan
  • menghadiri kuliah agama/ceramah agama - mendalami ilmu agama
  • menerima/mendengar nasihat yang diberikan
  • banyak bermuhasabah diri
      3. Dua persoalan yang terdapat dalam sajak di atas ialah:-
  • Persoalan fitrah manusia yang sering melakukan kesilapan dalam hidup; contohnya pengarang mengatakan bahawa setiap manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan.
  • Persoalan keinsafan yang wujud dalam diri manusia apabila menyedari kesilapan lalu; contohnya pengarang mengatakan bahawa hanya dengan keinsafan boleh membawa kehidupan yang bermakna.



Comments

Popular Posts